JOHOR BAHRU – Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi, melakukan ugutan sera menghasut kebencian termasuk memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ini termasuk perbuatan merosakkan harta benda awam, menyebarkan maklumat palsu atau melakukan sebarang kesalahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira latar belakang, fahaman politik atau kedudukan mana-mana individu.
“Sehubungan itu, polis kontinjen Johor menyeru semua parti politik, calon, penyokong dan seluruh rakyat Johor agar bersama-sama mengamalkan kematangan politik, menghormati undang-undang serta memastikan proses demokrasi ini berlangsung secara aman, harmoni dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Katanya, semua pihak perlu menghormati segala garis panduan yang sudah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa.
Menurut beliau, polis Johor memberi jaminan bahawa keselamatan negeri ini akan terus dipelihara dan dipertahankan sepanjang tempoh PRN Johor bagi memastikan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab dalam suasana selamat, teratur dan kondusif.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai. – MalaysiaGazette
















