KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Ilyas Jamil, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan lebih RM1 juta berhubung tender projek menaik taraf Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.
Ilyas, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Beliau yang memakai kot berwarna biru gelap dilihat tenang ketika berdiri di kandang tertuduh sebelum berkata dengan nada perlahan, “Saya faham semua pertuduhan. Saya tidak mengaku salah”.
Beliau didakwa meminta suapan RM1.005 juta dan enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM450,000 berkaitan tender Projek Menaik Taraf Gelanggang dan Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Nilai projek itu sebanyak RM8,733,197.
Bagi pertuduhan pertama, Ilyas didakwa meminta RM1.005 juta daripada seorang kontraktor, Yap Yeow Kuen sebagai dorongan untuk melantik Aerolux Power Constructions Sdn Bhd sebagai syarikat yang berjaya memperoleh tender projek berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Sri Petaling pada 24 Februari lalu.
Bagi enam pertuduhan selebihnya, beliau didakwa menerima suapan berjumlah RM450,000 daripada individu sama sebagai dorongan berkaitan projek tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat PSM di Sri Petaling bagi pertuduhan kedua, ketiga, keempat dan keenam, manakala pertuduhan kelima dan ketujuh didakwa dilakukan di sebuah restoran di Pavilion Bukit Jalil antara 25 Februari hingga 13 April lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Semasa prosiding tadi, Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat, memohon mahkamah mengenakan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh dikenakan syarat tambahan supaya menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Hujah Nuralis, walaupun kesalahan berkenaan boleh dipertimbangkan untuk jaminan atas budi bicara mahkamah, faktor kedudukan tertuduh, tahap keseriusan pertuduhan dan risiko melarikan diri perlu diambil kira.
Namun peguam bela mewakili tertuduh, Yusmadi Yusoff pula memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya kini berdepan kesukaran kewangan.
Mahkamah juga dimaklumkan Ilyas telah digantung kerja dan ketika ini beliau tidak mempunyai punca pendapatan lain untuk menyara keluarga termasuklah anak masih bersekolah.
Yusmadi turut berkata, anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan, akuan bersumpah dan laporan polis.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















