Tan Sri Abdul Hadi Awang

MARANG – Pesiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hari ini enggan mengulas perkembangan politik terutama membabitkan isu perceraian antara parti itu dan Bersatu yang masing-masing bertegas untuk kekal dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Marang itu juga enggan mengulas perebutan penggunaan logo untuk gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau menegaskan memadai dengan kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas mengenai perkembangan yang berlaku dalam gabungan itu.

“Tunggu minggu depan giliran saya beri kenyataan,” katanya memetik laporan BH Online selepas menyampaikan Kuliah Duha, di Masjid Rusila di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, PN melakukan penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu apabila perkhidmatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ditamatkan, berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilaporkan berkata, penamatan Radzi dan Mohamed Azmin antara langkah PN sebagai persediaan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu akan bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus menegaskan kesungguhan parti itu untuk terus kekal dalam gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast