KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan pelaksanaan melantik warden-warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera di semua 58 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula 1 Januari depan.
Menurut Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai permulaan, sebanyak 10 MRSM akan mulakan inisiatif itu bermula 1 Julai depan setelah proses pemilihan dan penyaringan dilakukan sepanjang bulan ini.
Menurutnya, hasil kajian pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menunjukkan bahawa projek rintis menempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau telah berjaya meningkatkan tahap disiplin pelajar bahkan mencapai sifar buli.

“Moga usaha ini mampu meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan MRSM dan sekali gus melahirkan generasi pelajar yang seimbang dan holistik dari segenap aspek,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Semalam, Asyraf Wajdi berkongsi dapatan kajian berkenaan pelaksanaan inisiatif itu yang menunjukkan penurunan drastik isu terkait masalah disiplin pelajar, dengan masalah buli hampir sifar.
Perkara itu dikongsikan beliau selepas menerima dokumen Laporan lengkap Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.
Buku Laporan setebal 19 muka surat itu diserahkan Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
Berkongsi lanjut dapatan utama kajian itu, Asyraf Wajdi berkata antaranya warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama, selain inisiatif itu diterima positif pelajar, ibu bapa dan pentadbir. – MalaysiaGazette
















