Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu kumpulan geng pecah rumah selepas menahan enam individu termasuk dua lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di sekitar daerah Cheras dalam tiga serbuan berasingan pada 6 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melibatkan dua lelaki warga Myanmar, seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 30-an.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk enam utas jam tangan mewah, tujuh beg tangan berjenama, tujuh telefon bimbit, sebuah komputer riba permainan (gaming laptop) serta sebilah parang sepanjang 25 inci bersama sarung tangan.

“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek tempatan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Siasatan awal turut mendedahkan suspek utama warga Myanmar dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya enam lagi kes pecah rumah di sekitar daerah Cheras,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejayaan tersebut susulan siasatan terhadap satu laporan kes pecah rumah di Taman Bukit Cheras pada 25 April lalu yang mengakibatkan kerugian melibatkan barang kemas, gajet serta wang tunai pelbagai mata wang asing bernilai lebih RM13,000.

Tambahnya, kesemua suspek telah direman sehingga 9 Jun 2026 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes-kes jenayah lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast