bidang tujahan IPT warga emas MQA
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyarankan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan memperkenalkan program akademik baharu yang dibangunkan berdasarkan permintaan khusus daripada industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Ketua pegawai eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan dikenali sebagai program on demand itu membolehkan syarikat dan majikan mencadangkan bidang kepakaran yang diperlukan sebelum sesebuah program akademik dibangunkan oleh IPT.

Beliau berkata, aspek kebolehpasaran graduan sentiasa menjadi keutamaan ibu bapa dan pelajar yang mahu memastikan pelaburan dalam pendidikan tinggi mampu menjamin peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Selama ini MQA telah memastikan setiap program yang ditawarkan oleh universiti tempatan mengambil kira pandangan serta input daripada pihak industri.

“Bagaimanapun, pendekatan ‘program on demand’ membawa kerjasama itu ke tahap lebih tinggi apabila industri sendiri mencadangkan bidang yang diperlukan berdasarkan keperluan tenaga kerja semasa dan masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai contoh, Mohammad Shatar menjelaskan, sesebuah syarikat boleh memaklumkan kepada universiti bahawa mereka memerlukan sejumlah jurutera atau tenaga mahir dalam bidang tertentu untuk memenuhi keperluan operasi dan perkembangan perniagaan.

Katanya, berdasarkan permintaan itu, universiti boleh membangunkan struktur kurikulum serta program akademik yang bersesuaian sebelum mendapatkan akreditasi daripada MQA.

“Selepas memperoleh akreditasi yang diperlukan, program tersebut boleh ditawarkan bagi memenuhi keperluan syarikat yang mengemukakan permintaan berkenaan.

“Apabila jumlah graduan yang diperlukan telah dicapai, universiti boleh membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau menamatkan penawaran program itu mengikut kesesuaian dan permintaan semasa,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, pendekatan itu berpotensi memastikan graduan mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas kerana program dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Pada masa sama, katanya, universiti juga dapat mengelakkan pembaziran sumber dengan tidak menawarkan program yang kurang mendapat permintaan daripada majikan.

“Diharap IPT tempatan tanpa mengira awam dan swasta dapat menyahut saranan ini demi melahirkan graduan yang relevan dengan kehendak industri.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir untuk memastikan graduan tempatan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik yang berkualiti, malah mempunyai kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh industri serta berupaya memasuki pasaran kerja sebaik menamatkan pengajian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bangang punya MQA…Industri pula arahkan University untuk buat program ikut apa mereka nak… university ni jd Pusat Latihan Industri kaaa? jahanam Universiti dgn MQA merepek ni

Comments are closed.