Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Rajesh Nagarajan (kanan) hadir menyerahkan memorandum menuntut siasatan berhubung pemindahan tiga gajah tempatan (Dara, Amoi dan Kelat) ke sebuah zoo di Jepun kepada wakil Ketua Polis Negara, ASP Norbariah Fazuan Ramli (tengah) di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi memohon penubuhan Pasukan Petugas Khas  menyiasat proses pemindahan tiga ekor gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping ke Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Memorandum bertarikh 20 Jun 2026 itu diserahkan oleh Presiden PEKA, Rajesh Nagarajan bagi pihak rakyat Malaysia susulan dakwaan wujud percanggahan dokumen serta kemungkinan pelanggaran prosedur dan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pemindahan haiwan berkenaan.

Menurut memorandum tersebut, PEKA berpandangan pemindahan tersebut perlu disiasat secara menyeluruh memandangkan ia melibatkan spesies yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam (CITES).

PEKA mendakwa hasil semakan terhadap dokumen berkaitan mendapati terdapat beberapa percanggahan yang menimbulkan keraguan serius mengenai sama ada pemindahan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebahagian wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir memberikan sokongan bagi penyerahan memorandum menuntut siasatan berhubung pemindahan tiga gajah tempatan (Dara, Amoi dan Kelat) ke sebuah zoo di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JUN 2026.

Antara dokumen yang dirujuk termasuk permit CITES yang dikeluarkan, sijil kesihatan haiwan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), invois transaksi berkaitan serta dokumen pengangkutan udara (airway bill).

Menurut PEKA, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat sebelum ini, namun siasatan lanjut oleh pasukan khas dianggap perlu memandangkan kes tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, transaksi antarabangsa dan kemungkinan penyalahgunaan lesen atau permit.

Sehubungan itu, PEKA memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada pegawai berpengalaman dalam siasatan jenayah kolar putih, undang-undang alam sekitar dan transaksi rentas sempadan.

Selain itu, pasukan berkenaan dicadangkan menyiasat semua laporan polis yang telah dikemukakan, meneliti status siasatan semasa, mengesahkan kesahihan dokumen berkaitan serta memanggil dan mendapatkan keterangan daripada semua pihak yang terlibat.

Sebahagian wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir memberikan sokongan bagi penyerahan memorandum menuntut siasatan berhubung pemindahan tiga gajah tempatan (Dara, Amoi dan Kelat) ke sebuah zoo di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JUN 2026.

Antara pihak yang dicadangkan untuk dipanggil termasuk pegawai Zoo Taiping, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta mana-mana pihak swasta yang mempunyai kaitan dengan proses pemindahan tersebut.

PEKA turut menegaskan bahawa siasatan perlu dijalankan secara telus, bebas dan segera serta hasilnya dimaklumkan kepada orang ramai demi memastikan keyakinan terhadap pengurusan khazanah alam negara terus terpelihara.

“Pemindahan gajah DAK bukan sekadar isu pengurusan zoo, malah melibatkan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah CITES serta kepentingan awam yang lebih luas dalam pemeliharaan biodiversiti negara,” menurut memorandum tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast