Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

DUNGUN – Seorang nenek cedera parah selepas dipercayai dipukul cucunya menggunakan tukul besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Abang, Dungun, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Nik Ab Halim Nik Mat, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 petang.

Katanya siasatan awal mendapati, wanita berusia 79 tahun itu menghalang cucu lelakinya berusia 25 tahun – yang tinggal bersamanya – untuk keluar rumah sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek dipercayai menolak sebelum memukul mangsa menggunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ab Halim berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Tambahnya polis menahan suspek yang memiliki kad pesakit mental bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala tukul besi yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast