PUTRAJAYA – Jumlah pendaratan belangkas di negara ini menunjukkan trend peningkatan yang konsisten dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pendaratan belangkas meningkat daripada 232.80 tan metrik pada 2023 kepada 237.65 tan metrik pada 2024 sebelum mencecah 266.42 tan metrik pada 2025, iaitu pertumbuhan keseluruhan sebanyak 14.44 peratus.
Lantaran itu, katanya, DOF akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan belangkas bagi memastikan kelangsungan spesies marin purba itu yang mempunyai nilai tinggi dari aspek biodiversiti, ekonomi dan bioperubatan.
Menurut beliau, nilai borong pasaran belangkas turut mencatat peningkatan sebanyak 9.32 peratus, daripada RM2.45 juta pada 2023 kepada RM2.68 juta pada 2025.
“Walaupun sumbangan belangkas kepada keseluruhan sektor perikanan tangkapan negara hanya sekitar 0.019 peratus, spesies itu mempunyai nilai premium dan berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada komuniti nelayan pesisir.
“Belangkas merupakan khazanah biodiversiti marin negara yang mempunyai nilai strategik tinggi, bukan sahaja kepada ekosistem pesisir malah dalam bidang biosains dan bioperubatan,” katanya sempena sambutan Hari Belangkas Sedunia 2026.
Jelas Adnan, peningkatan pendaratan yang direkodkan menunjukkan ekosistem pesisir negara masih berupaya menyokong kelangsungan spesies ini.
Namun, tekanan terhadap habitat semula jadi akibat pembangunan, pencemaran dan eksploitasi berlebihan menuntut tindakan pemuliharaan yang lebih bersepadu dan berterusan,” katanya.
Belangkas digelar sebagai “fosil hidup”, merupakan spesies purba yang wujud di bumi sejak lebih 400 juta tahun lalu.
Keistimewaan spesies itu terletak pada darahnya yang berwarna biru dan mengandungi komponen Amebocyte Lysate, iaitu bahan penting yang digunakan dalam ujian keselamatan vaksin serta ubat-ubatan bagi mengesan pencemaran bakteria.
Malaysia merupakan antara negara penting dalam pemuliharaan spesies tersebut kerana menjadi habitat kepada tiga daripada empat spesies belangkas dunia, iaitu Carcinoscorpius rotundicauda, Tachypleus gigas dan Tachypleus tridentatus.
Bagaimanapun, katanya, populasi belangkas masih berdepan pelbagai ancaman termasuk kemusnahan habitat akibat pembangunan kawasan pesisir, pencemaran sisa plastik dan aktiviti pengambilan telur secara tidak terkawal.
Sehubungan itu, DOF akan terus memperkukuh langkah pemuliharaan melalui penguatkuasaan undang-undang, penyelidikan saintifik, program pelepasan juvenil serta pewartaan kawasan pembiakan sebagai zon perlindungan.
“DOF turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama memelihara ekosistem pesisir dan hutan bakau,” ujar beliau sambil menegaskan usaha melindungi belangkas merupakan komitmen negara dalam memelihara sumber semula jadi yang bernilai tinggi untuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette
















