Suraya Sulaiman.

TANGKAK – Parti Pejuang Tanan Air (Pejuang) Johor mencadangkan kerajaan menjalankan kajian terperinci untuk mempertimbangkan pemindahan Klinik Kesihatan (KK) Bukit Gambir klinik ke lokasi baharu.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini bagi memastikan lokasinya lebih strategik, luas dan mampu menyediakan kemudahan yang lebih lengkap serta moden kepada masyarakat.

“Dalam jangka panjang, kerajaan juga perlu menilai keperluan pembinaan sebuah hospital kerajaan di Bukit Gambir atau kawasan berhampiran.

“Dengan pertumbuhan penduduk yang berterusan, sebuah hospital lengkap yang menawarkan perkhidmatan kecemasan, rawatan pakar, wad pesakit dan kemudahan pembedahan akan memberi manfaat besar kepada penduduk serta mengurangkan kebergantungan kepada hospital yang terletak jauh,” katanya dalam kenyataan.

Pejuang Johor memandang serius pelbagai isu yang membelenggu Klinik Kesihatan Bukit Gambir, khususnya masalah kepadatan pesakit yang semakin meningkat akibat pertumbuhan penduduk dan pembangunan kawasan sekitar.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kesesakan yang ketara, tempoh menunggu yang panjang serta ketidakselesaan kepada pesakit, terutama warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan golongan orang kurang Upaya (OKU).

Selain itu dakwanya, penduduk berdepan masalah kekurangan ruang menunggu yang selesa, tempat letak kenderaan yang terhad serta kemudahan sedia ada yang dilihat tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

Dalam masa yang sama katanya, petugas kesihatan juga berhadapan beban kerja yang semakin meningkat akibat pertambahan jumlah pesakit.

Justeru Pejuang Johor berpandangan, lokasi dan kapasiti Klinik Kesihatan Bukit Gambir ketika ini sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan kawasan tersebut.

Pejuang Johor juga menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur kesihatan perlu seiring dengan pertumbuhan penduduk.

“Oleh itu, kami mendesak Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan segera dengan melaksanakan penilaian menyeluruh serta merangka pelan tindakan yang jelas bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selesa dan mencukupi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast