KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Bapa buat seluruh insan yang bergelar bapa.
“Bapa adalah sumber kekuatan sesebuah keluarga serta pembimbing yang mencorakkan masa depan anak-anak.
“Terima kasih atas segala pengorbanan, kasih sayang dan bimbingan yang amat bernilai. Biarpun jarang dizahirkan dengan kata-kata, jasa serta kasih seorang bapa tetap abadi di dalam hati.
“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan rahmat-Nya ke atas Almarhum ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum Sultan Idris Shah II,” titah Seri Paduka Baginda seperti dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Hari Bapa disambut pada hari Ahad ketiga bulan Jun setiap tahun bagi mengiktiraf peranan bapa yang merupakan pelindung, pembimbing dan tonggak kesejahteraan keluarga.
Sambutan Hari Bapa pada tahun ini mengangkat tema “Sehebat KASIH Bapa” yang menggambarkan kehebatan seorang bapa yang diukur melalui kasih, masa dan perhatian yang dicurahkan kepada keluarga. – MalaysiaGazette
















