Screenshot

KUALA LUMPUR – Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini bergabung menubuhkan Sekretariat Kebangsaan Bagi Menangani Isu Pelarian dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Jejak).

Pengerusinya, Tengku Putra Muhmmad berkata, ia bagi merangka penyelesaian komprehensif terhadap isu pelarian dan kebanjiran warga asing di negara ini.

Beliau berkata, ia bagi mencari jalan penyelesaian lebih berkesan dalam menangani isu pelarian, khususnya etnik Rohingya serta PATI yang semakin menjadi perhatian masyarakat.

“Kita tidak menentang mana-mana pihak yang membantu pelarian atas dasar kemanusiaan.

“Apa yang kita mahu ialah satu pendekatan yang lebih berkesan dan menyeluruh supaya isu ini dapat ditangani dengan baik untuk manfaat semua pihak.

“Apabila isu pelarian dan warga asing semakin kerap tular di media sosial akibat pelbagai salah laku didakwa dilakukan oleh segelintir mereka, ia telah menjadi kebimbangan utama rakyat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat sekretariat tersebut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama NGO akan dirumuskan dalam bentuk memorandum yang mengandungi cadangan serta solusi untuk diserahkan kepada beberapa agensi kerajaan.

“Memorandum itu akan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), kedutaan-kedutaan berkaitan serta pihak-pihak berkepentingan lain.

“Kita mahu membawa solusi, bukan sekadar mengkritik. Semua cadangan yang dikumpulkan akan disusun dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, wakil NGO yang hadir turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan penglibatan warga asing dalam sektor perniagaan dan komuniti setempat.

Presiden Persatuan Misi Keamanan dan Bantuan Kebangsaan Antarabangsa, Yahya Long Ali berkata, NGO memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dan kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu warga asing.

“Pelbagai maklumat di peringkat akar umbi diperoleh NGO hasil interaksi langsung dengan masyarakat setempat dan pihak berkuasa sewajarnya mengambil kira pandangan tersebut dalam merangka dasar berkaitan pelarian serta PATI,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash pula mencadangkan agar kerajaan memperketat penguatkuasaan terhadap perniagaan didakwa dimonopoli warga asing.

“Kerajaan perlu mengkaji semula syarat pendaftaran syarikat dan lesen perniagaan melibatkan bukan warganegara.

“Kerajaan perlu mewajibkan kehadiran sekurang-kurangnya seorang warganegara di kaunter premis perniagaan tertentu bagi memastikan pemantauan lebih berkesan serta mengelakkan penyalahgunaan operasi perniagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast