KUALA LUMPUR – Mukmin tampil sebagai platform nasional terbesar menghimpunkan pelbagai pertubuhan, institusi pendidikan, golongan profesional, usahawan serta pemimpin masyarakat India Muslim bagi memperkukuhkan agenda pembangunan pendidikan, ekonomi dan kepimpinan komuniti secara lebih tersusun.
Presidennya, Datuk Shahul Dawood berkata, komuniti India Muslim perlu bergerak secara kolektif dan meninggalkan pendekatan yang bersifat berasingan bagi memastikan usaha pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Menurut beliau, tiada satu organisasi mampu menangani semua cabaran yang dihadapi komuniti secara bersendirian, justeru kerjasama strategik perlu diperkasakan bagi mewujudkan lebih banyak peluang dan sumber yang dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
“Mukmin ditubuhkan berasaskan kepercayaan bahawa komuniti kita akan menjadi lebih kuat apabila kita bekerjasama.
“Tiada satu organisasi pun yang mampu menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi masyarakat, namun secara bersama kita boleh mewujudkan peluang, menggerakkan sumber dan membina masa depan yang lebih kukuh untuk semua,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) sulung Mukmin yang turut menetapkan beberapa keutamaan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2027, termasuk pertumbuhan organisasi, pengembangan keahlian, penglibatan golongan belia serta pemerkasaan komuniti secara berterusan.
Shahul berkata, Mukmin dipandu oleh lima teras utama iaitu Pendidikan dan Pembangunan Bakat, Keusahawanan dan Pemerkasaan Ekonomi, Kepimpinan dan Perwakilan, Kebajikan Sosial dan Kesejahteraan Komuniti serta Iman, Identiti dan Ukhuwah.
Jelasnya, organisasi itu bukan sekadar mahu menjadi sebuah pertubuhan biasa, sebaliknya beraspirasi menjadi ekosistem nasional yang dipercayai untuk mentransformasikan komuniti menerusi jaringan kerjasama yang lebih meluas.
“Melalui lima teras strategik ini, kita sedang membuka laluan baharu dalam bidang pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan kepimpinan, kesejahteraan sosial dan pengukuhan hubungan dalam komuniti,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Mukmin mengumumkan kejayaan memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM7 juta hasil kerjasama strategik dengan enam institusi pendidikan iaitu UNITAR International University, University of Cyberjaya, MAHSA University, BAC Education Group, Binary College dan SG Academy.
Lebih 350 peluang biasiswa disediakan menerusi laluan pengajian pendidikan tinggi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membantu pelajar yang layak di seluruh negara mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti serta pembangunan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
Mukmin turut memperkenalkan Program Adopt A Graduate yang bertujuan membantu pelajar dan graduan melalui tajaan yuran pengajian, peluang pekerjaan, bimbingan kerjaya, pendedahan industri serta pembangunan profesional bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing.
Shahul berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi mengurangkan halangan kewangan yang dihadapi pelajar, selain memudahkan peralihan mereka daripada alam pendidikan ke alam pekerjaan menerusi sokongan bersepadu daripada sektor korporat, komuniti dan institusi pendidikan.
Beliau berkata, Mukmin juga akan terus memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi meningkatkan lagi jumlah biasiswa dan peluang pembangunan bakat yang ditawarkan kepada pelajar.
Difahamkan, pelancaran rasmi Mukmin dijangka diadakan pada Ogos depan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan dijangka menghimpunkan lebih 2,500 peserta dari seluruh negara yang akan disertai juga pemimpin serta wakil komuniti India Muslim dari beberapa negara.
Ini sebagai usaha memperkukuhkan rangkaian kerjasama antarabangsa, selain membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pembentukan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada komuniti di peringkat tempatan dan global.
“Kita bukan sekadar membina sebuah organisasi, tetapi sedang membina satu gerakan yang mampu memperkasa komuniti, melahirkan pemimpin masa depan dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi akan datang.
“Kejayaan kita tidak akan diukur berdasarkan saiz organisasi, sebaliknya melalui jumlah kehidupan yang berjaya diubah dan komuniti yang berjaya diperkasakan,” ujarnya. -MalaysiaGazette















