KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) mahu Tentera Darat Malaysia (TDM) menyegerakan siasatan berhubung insiden kematian dua anggotanya akibat letupan bom tangan (grenad) ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, Kedah Selasa lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, susulan tragedi itu juga, semua latihan melibatkan penggunaan bom tangan ditangguhkan serta-merta sehingga laporan penuh siasatan diperoleh.
Katanya, mengikut prosedur operasi standard (SOP), sebaik sahaja pin bom tangan dicabut, ia wajib dibaling dalam tempoh tujuh saat.
“Mungkin ada silap dekat situ (semasa kejadian) kena siasat. Adakah yang terlibat itu (mangsa) darah gemuruh ke apa (sebaliknya)? Apapun apabila cabut pin dalam masa tujuh saat mesti baling. Itu sebabnya kita kena siasat (punca).
“Saya tidak mahu membuat andaian, kita siasat dulu. Saya harap apabila selesai (laporan siasatan) mereka akan hantar kepada saya. Jadi saya harap ia dapat disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengisian Minyak Percuma Untuk Motosikal di stesen minyak BH Petrol, Felda Air Tawar, dekat sini, hari ini.
Terdahulu portal ini melaporkan dua anggota tentera, Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, meninggal dunia dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan grenad di Kem Hobart. – MalaysiaGazette
















