KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam akan mula beroperasi pada 29 Jun ini.
Menurut beliau, majlis perasmian rasmi laluan berkenaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 28 Jun di depot LRT3.
“Majlis perasmian LRT3 Shah Alam akan diadakan pada Ahad, 28 Jun oleh Perdana Menteri di depot.
“Operasi akan bermula serta-merta pada Isnin, 29 Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.
Anthony Loke berkata, pihak media akan dijemput menghadiri majlis perasmian rasmi tersebut.
Beliau turut memaklumkan laporan berkaitan projek berkenaan dijangka siap pada penghujung minggu ini manakala kerja-kerja berkaitan masih sedang dijalankan.
Laluan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia merupakan antara projek pengangkutan awam utama negara bagi meningkatkan jaringan pengangkutan rel di Lembah Klang. – MalaysiaGazette
















