Babu Thamizan bersama pasukannya tampil membantu dengan menghulurkan pelbagai barangan asas serta sedikit sumbangan kewangan.

RAWANG – Di sebalik arus pembangunan dan kemodenan negara, masih ada keluarga yang terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan tanpa kemudahan asas yang sempurna.

Realiti menyayat hati itu ditemui sekumpulan sukarelawan daripada Oh Yeah Banana Leaf Restaurant ketika mengadakan lawatan kebajikan berhampiran Sri Veerakathy Vinayagar Temple di sini baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai pemilik restoran berkenaan, Babu Thamizan mendapati keadaan beberapa keluarga hidup dalam persekitaran yang mencabar dengan pelbagai kekurangan.

Ia termasuk ketiadaan laluan jalan yang sempurna, kemudahan sanitasi yang tidak memuaskan serta kediaman yang uzur dan kurang selamat untuk didiami.

Keadaan begitu daif sehingga tiada kemudahan asas bagi beberapa keluarga di lokasi ini.

Tersentuh dengan keadaan yang disaksikan, Babu bersama pasukan sukarelawan telah menghulurkan bantuan makanan dan barangan keperluan asas kepada keluarga yang terlibat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, bantuan disalurkan hanya penyelesaian sementara dan lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi membantu keluarga terbabit keluar daripada belenggu kemiskinan.

Babu sendiri tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak apabila melihat keadaan sebenar yang dialami penduduk.

“Secara jujurnya, apa yang kami lihat boleh membuatkan sesiapa sahaja menitiskan air mata. Dalam keadaan negara yang semakin moden dan pesat membangun, masih ada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan dan bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Apabila melihat sendiri keadaan mereka, kita akan sedar masih ramai memerlukan bantuan dan perhatian.

“Mereka bukan sekadar memerlukan makanan, tetapi peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan lebih bermaruah,” ujarnya emosi kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sukarelawan Oh Yeah Banana Leaf hadir memberikan sinar kepada beberapa keluarga hidup dalam kedaifan untuk sekian lama di Rawang.

Menurut beliau, nasib keluarga berkenaan tidak boleh terus dipinggirkan dan memerlukan campur tangan segera daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata, pihaknya turut berkongsi keadaan sebenar penduduk di media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan menggalakkan lebih ramai pihak untuk tampil membantu.

Pada masa sama, Babu berharap pihak berkuasa berkaitan dapat turun padang dan meneliti sendiri keadaan yang dihadapi penduduk terbabit.

Katanya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk penyediaan infrastruktur yang lebih baik, laluan jalan yang selamat, kemudahan sanitasi yang sempurna serta usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Sementara itu, usaha berkenaan turut mendapat sokongan daripada Datuk Seri Balakrishnan Appalanaidu yang mewakili Sri Veerakathy Vinayagar Temple.

Beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pasukan sukarelawan bagi membantu keluarga terbabit serta mencari jalan terbaik untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terpelihara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast