Yong Lai Kien memakai topi yang menutup muka ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub, hari ini.

KUANTAN – Seorang pekebun durian dikenakan hukuman denda RM80,000 di Mahkamah Sesyen Raub hari ini selepas didapati bersalah menceroboh tanah kerajaan negeri secara tidak sah dua tahun lepas.

Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Yong Lai Kien, 48, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 9 Ogos 2024, Yong didakwa tanpa kebenaran yang sah telah menduduki tanah kerajaan negeri Pahang di Sungai Pertang di mukim Gali, Raub.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman di bawah sama selain Seksyen 426C (3) Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Berdasarkan fakta kes, wanita itu ditahan ketika serbuan pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Hutan Daerah Raub kira-kira jam 11.19 pagi pada hari kejadian.

Hasil serbuan mendapati, terdapat sebuah rumah kebun telah didirikan dan kawasan tanaman kebun durian di lokasi terbabit yang kemudian disahkan tidak mendapat kebenaran oleh pihak kerajaan negeri.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi dan Nurul Ain Wozzari manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Harris Mohan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Harap hukuman yg sama, malah lebih berat bagi yg menceroboh tanah milik persedirian utk mendirikan kuil

Comments are closed.