KUALA LUMPUR – Proses tindakan terhadap dua mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dimulakan berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pihak berkuasa.
Pusat Komunikasi Korporat UMS memaklumkan, proses itu bertujuan memberi ruang kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengemukakan penjelasan serta membolehkan universiti meneliti semua fakta dan maklumat yang relevan.
Menurutnya, UMS komited untuk memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa.
“Sebagai institusi pendidikan tinggi awam, UMS sentiasa mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu, berfikiran kritis, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Universiti juga percaya bahawa penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, tambahnya, semua warga universiti mempunyai tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, peraturan yang berkuat kuasa serta nilai-nilai yang mendasari keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
“Sehubungan itu, UMS memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati proses yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada universiti melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, adil dan saksama,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua mahasiswa UMS iaitu Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum menerima notis prosiding tatatertib yang dijadualkan berlangsung pada 9 Julai depan.
Notis berkenaan disampaikan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS dipercayai susulan penglibatan mereka dalam protes perobohan rumah di Kudat.
Kes itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim yang meminta UMS meneliti semula tindakan tatatertib itu.
Malah, Adam Adli seperti dilaporkan media turut bersedia untuk hadir (turun ke UMS) bagi memastikan proses yang berlangsung adalah adil serta memberi ruang sewajarnya kepada mahasiswa untuk membela diri.
Adam Adli yang juga bekas aktivis mahasiswa turut menyifatkan tindakan mendakwa seterusnya menghukum mahasiswa adalah sesuatu yang janggal memandangkan mereka tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan di mahkamah. – MalaysiaGazette















