KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan manfaat perlindungan takaful berjumlah RM28,000 kepada waris pendeposit Simpan SSPN Plus, Allahyarhamah Ainur Mahdiyah Zahra Abdullah @ Paullina Oppei Paulus menerusi Program Ziarah Kasih Simpan SSPN.
Penyerahan manfaat itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid kepada suami Allahyarhamah, Mohd Zaidi Abu Husin, yang juga Pengurus Jabatan Kreatif Al Hijrah Media Corporation.
Allahyarhamah, Pengurus Unit Integrasi Media, Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat Al Hijrah Media Corporation, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 17 Disember 2024.
Beliau telah membuka akaun Simpan SSPN Plus untuk seorang anak pada 10 Mac 2023 di bawah Pakej Delima dengan komitmen bulanan RM50, merangkumi RM40 untuk simpanan dan RM10 untuk caruman takaful.
Melalui caruman tersebut, waris Allahyarhamah menerima manfaat perlindungan takaful kematian biasa sebanyak RM25,000 dan khairat kematian berjumlah RM2,800, menjadikan jumlah keseluruhan manfaat yang diterima sebanyak RM28,000.
Menurut Mastura, Simpan SSPN Plus bukan sahaja berfungsi sebagai instrumen simpanan pendidikan, malah menawarkan perlindungan takaful yang dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga pendeposit sekiranya berlaku musibah.
“Melalui Program Ziarah Kasih Simpan SSPN, kami berharap sumbangan dan manfaat yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat memberi sokongan moral serta membantu waris meneruskan kehidupan dengan lebih tenang,” katanya.
“Simpan SSPN Plus bukan sekadar instrumen simpanan pendidikan untuk masa hadapan anak-anak, malah turut menyediakan pelbagai manfaat perlindungan yang komprehensif kepada pendeposit dan keluarga mereka.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi PTPTN untuk membudayakan amalan menabung di samping menyediakan jaringan perlindungan kewangan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat,” tambah beliau lagi,” katanya.
Beliau berkata, Simpan SSPN Plus turut menyediakan pelbagai manfaat perlindungan komprehensif kepada pendeposit dan keluarga, sejajar dengan usaha PTPTN membudayakan amalan menabung sambil menyediakan jaringan perlindungan kewangan kepada masyarakat.
PTPTN kini menawarkan dua produk simpanan utama iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menyediakan pelbagai keistimewaan termasuk perlindungan takaful, pelepasan cukai, dividen kompetitif dan simpanan yang dijamin kerajaan.
Orang ramai boleh membuka atau menambah simpanan Simpan SSPN menerusi aplikasi myPTPTN bagi memudahkan urusan secara dalam talian. – MalaysiaGazette
















