KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada Oktober tahun lalu masih belum diratifikasi oleh kedua-dua negara susulan perubahan landskap perundangan perdagangan di Washington.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Mahkamah Agung AS (SCOTUS) pada 20 Februari lalu memutuskan pengenaan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Keputusan tersebut secara langsung membatalkan tarif 19 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas Malaysia bermula 1 Ogos 2025.
“Bagi memastikan tarif tambahan terus dikenakan, Presiden Trump kemudiannya mengumumkan tarif global baharu pada kadar 10 peratus ke atas semua barangan import ke AS di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 yang berkuat kuasa pada 24 Februari 2026.
“Bagaimanapun, langkah itu hanya bersifat sementara kerana peruntukan tersebut hanya membenarkan tarif dikenakan selama 150 hari dan dijangka tamat pada 24 Julai ini,” katanya ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut-PN) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi menjadikan tarif sebagai instrumen perdagangan yang lebih kekal, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Mac lalu menjalankan dua siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 melibatkan puluhan negara rakan dagang termasuk Malaysia.
“Siasatan pertama berkaitan dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran dan lambakan eksport ke pasaran AS, manakala siasatan kedua menumpukan kepada negara didakwa gagal menguatkuasakan larangan terhadap import barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa,” katanya.
Menurut beliau, hasil penemuan awal siasatan yang diumumkan pada 2 Jun lalu mendapati Malaysia termasuk dalam kumpulan 54 negara tidak mempunyai undang-undang khusus untuk menyekat kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
“Namun Malaysia dicadangkan dikenakan tarif 10 peratus berbanding 12.5 peratus yang dicadangkan kepada negara lain dalam kategori sama.
“Cadangan kadar tarif yang lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan di bawah ART, termasuk aspek berkaitan buruh paksa,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tarif tersebut masih belum dimuktamad dan belum dikuatkuasakan kerana proses siasatan masih berjalan.
“Kerajaan AS kini membuka ruang kepada negara-negara terlibat untuk mengemukakan ulasan bertulis dan menghadiri sesi pendengaran awam sebelum keputusan akhir diumumkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengambil bahagian secara aktif dalam kedua-dua siasatan Seksyen 301 dengan mengemukakan komen bertulis, menyertai sesi pendengaran awam serta mengadakan konsultasi bersama pihak USTR.
“Kerajaan akan meneruskan rundingan dengan pihak USTR bagi memastikan kepentingan dan pandangan Malaysia diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan negara berhubung isu buruh paksa, jelasnya, kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa (IATFL) yang dipengerusikan MITI.
“Pasukan petugas itu bertanggungjawab mengkaji dan merangka mekanisme bagi melarang pengimportan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa ke Malaysia,” katanya.
Selain itu, kata Johari, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara terus mencatat pertumbuhan positif di sebalik ketidaktentuan dasar perdagangan AS,
“Bagi tempoh Januari hingga April 2026, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-AS meningkat 10.1 peratus kepada RM137.16 bilion berbanding RM124.59 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
“Dari jumlah itu, eksport Malaysia ke AS mencecah RM101.54 bilion manakala import bernilai RM35.63 bilion.
“Sepanjang 2025 pula, perdagangan dua hala meningkat 12.3 peratus kepada RM365.07 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan AS sebagai antara rakan dagang utama Malaysia,” katanya.
Dalam sektor pelaburan, katanya lagi, sehingga akhir tahun lalu sebanyak 1,018 projek melibatkan syarikat Amerika telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan hampir RM179.1 bilion, selain mewujudkan lebih 225,000 peluang pekerjaan.
“Perkembangan itu menunjukkan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-AS kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan dasar tarif dan siasatan perdagangan yang sedang berlangsung di Washington,” katanya lagi. – MalaysiaGazatte
















