MELAKA – Bekas pegawai kanan Jabatan Ketua Menteri Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang serta memperdaya beberapa individu termasuk dua Exco kerajaan negeri, sejak empat tahun lalu.
Tertuduh D. Puhnitha Devi, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua tujuh pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh sebagai Bendahari Persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) Melaka didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu wang tunai kepunyaan persatuan itu bernilai RM56,000.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Ayer Keroh pada 24 Mac dan 7 April 2022.
Tertuduh yang ketika itu merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) turut didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang sumbangan duit raya berjumlah RM600 kepunyaan 30 petugas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Melaka Tahun 2024.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri pada 14 Mei 2024.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara antara enam hingga lima tahun, dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan memperdaya tiga individu termasuk dua Exco Kerajaan Negeri Melaka untuk menyerahkan wang berjumlah antara RM400 hingga RM 1,500.
Perbuatan di bawah Seksyen 420 kanun sama itu kononnya adalah sebagai sumbangan untuk mengadakan Hari Keluarga/Sasaran Kerja Tahunan BKK sedangkan ia tidak akan dilaksanakan.
Kesalahan itu dilakukan antara Jun dan Julai 2024 di dalam daerah Melaka Tengah.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan.
Tertuduh diwakili peguam Intan Nur Alia Nodzri bagaimanapun merayu jaminan rendah dan mencadangkan RM5,000 bagi semua pertuduhan memandangkan tertuduh tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan sejak setahun lalu.
Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri setiap bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 3 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















