TANGKAK – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan diperkukan sekiranya kerajaan negeri mahukan kemajuan.
Perdana Menteri turut mengambul contoh hubungan baik kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
“Premier Sarawak setuju untuk Kerajaan Sarawak bayar kepada kerajaan Malaysia RM1.8 bilion. Ini dia, kita runding dengan baik! Sebab apa boleh begitu? Kerana Kerajaan Negeri Sarawak baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Selaku Persekutuan (kita) runding dengan mereka. Kemudian saya memutuskan, mengumumkan dan menerima cek untuk rakyat Malaysia RM1.8 bilion untuk semua negeri termasuk negeri Johor!
“Kenapa RM1.8 bilion. Ini cara kerjasama kita. Sebab itu saya bagi tahu nak maju kena kerjasama. Kalau ambil sikap Kerajaan Sarawak umpamanya, tak setuju dengan kita, menentang kita, asyik kritik kita, kita nak runding macam mana,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir, di sini malam ini.

Anwar berkata, hasil yang diberi semula Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini besar antara 2023 hingga 2025, dengan Kerajaan Negeri Johor memberi RM14 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.
“Berapa kita bagi balik melalui pelbagai projek, pengurusan, pembangunan keseluruhannya? Berapa ambil? RM14 bilion. Maka yang sama, berapa bagi balik? RM16 bilion untuk negeri Johor,” katanya.
Beliau mendakwa, jumlah itu berbeza semasa negara ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) iaitu tidak sampai RM7 bilion.
“RM6 billion, maksimum tak sampai RM7 bilion. Berapa di bawah Kerajaan Madani? RM8.7 bilion, penambahan yang tinggi,” ujarnya.
Kelmarin, Tunku Mahkota Ismail bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan bagi memenuhi keperluan hampir lima juta rakyat negeri itu.

Titah Pemangku Sultan Johor, sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip dari Johor wajar dikembalikan kepada negeri bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.
“Apabila kita memberi hasil negeri kita lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga 4.9 juta rakyat Johor, bagaimana? Benda itu tidak logik,” titah baginda dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor. – MalaysiaGazette
















