KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan yang mempunyai saman atau kes tertunggak bakal berdepan sekatan perjalanan rentas sempadan menerusi pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi tujuan itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anggotanya atau pegawai polis akan diberi kuasa menghalang kenderaan Malaysia dan asing memasuki atau meninggalkan negara.
“Fasal berkaitan seksyen baharu 119C memperluaskan prinsip yang sama kepada kenderaan motor berdaftar Malaysia yang melakukan perjalanan rentas sempadan.
“Ia bertujuan bagi memastikan pemilik kenderaan menyelesaikan saman dan kes tertunggak terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan rentas sempadan.
“Ia melibatkan saman trafik, kes mahkamah serta pelbagai pelanggaran undang-undang berkaitan pengangkutan jalan,” katanya ketika membentangkan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, kata Anthony, pindaan tersebut juga bertujuan membanteras penyalahgunaan kenderaan klon, kenderaan curi serta meningkatkan kadar penyelesaian saman tertunggak.
“Pindaan ini membantu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membendung penyalahgunaan seperti penggunaan kenderaan klon, kenderaan curi dan kenderaan yang tidak mematuhi keperluan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan kadar LKM bagi Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi walaupun memperkenalkan konsep kawasan pengisytiharan menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan.
Menurut Anthony, sistem baharu itu hanya bertujuan memastikan fi cukai jalan dibayar berdasarkan lokasi sebenar penggunaan kenderaan.
“Terdapat kes kenderaan yang digunakan sepenuhnya di Semenanjung tetapi didaftar atau diperbaharui di kawasan yang mempunyai kadar fi lebih rendah.
Katanya lagi, langkah itu akan meningkatkan ketelusan sistem pelesenan serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.
“Pindaan ini untuk mengelakkan bebanan pemilik kenderaan yang benar-benar menggunakan kenderaan mereka di Sabah, Sarawak, Labuan atau Langkawi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















