KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX) bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 4 Julai 2026 dengan menampilkan pelbagai tarikan unik termasuk muzium sejarah durian dan pertunjukan teater imersif.
Pusat berkeluasan 20,451 kaki persegi yang terletak di Jalan Ampang itu diasaskan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif KLDEX, Ang Kean Wee dan Duta KLDEX, Edison Ang Wei Phang serta dibangunkan oleh MyBolehBoleh, syarikat runcit dan eksport durian tempatan yang aktif mempromosikan durian Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Menurut Ang, pembukaan pusat berkenaan bukan sekadar mempamerkan durian sebagai buah ikonik Malaysia, sebaliknya menjadi platform pendidikan budaya, sejarah dan pengalaman interaktif kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa.

“Visi kami adalah untuk memelihara warisan budaya durian Malaysia dan mendokumentasikan secara sistematik kisah di sebalik varieti durian unik yang berasal dari Malaysia seperti D24, Musang King dan Black Thorn,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, KLDEX turut menampilkan muzium sejarah durian yang memaparkan perkembangan serta catatan awal buah tersebut dalam sumber sejarah Eropah dan Cina, selain pameran interaktif yang memberi pengalaman imersif kepada pengunjung.
Selain itu, KLDEX turut memperkenalkan teater imersif yang menggabungkan elemen drama, koreografi kreatif, rap dan muzik berirama bagi mempersembahkan budaya durian Malaysia dalam bentuk penceritaan moden.

Menurutnya lagi, konsep tersebut diharap mampu menarik minat generasi muda serta pelancong asing untuk lebih memahami nilai budaya dan sejarah di sebalik buah durian yang sinonim dengan Malaysia.
Dalam pada itu, Edison berkata, pusat berkenaan turut dibangunkan dengan konsep suasana kampung bagi memberikan pengalaman lebih dekat dengan budaya tempatan.
“KLDEX adalah salah satu center yang boleh merangkumi semua budaya termasuklah seni binaan seperti yang boleh dilihat terdapat seperti suasana di kampung. Ini semua konsep untuk mendekatkan lagi seperti berada di kampung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, ramai tidak mengetahui bahawa durian bukan sahaja dimakan begitu sahaja, malah turut dinikmati bersama nasi, pulut dan boleh dijadikan dodoi dalam tradisi tertentu.
Dengan gabungan muzium, teater, ruang makanan dan minuman serta runcit, KLDEX dijangka menjadi antara tarikan pelancongan baharu negara yang memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Malaysia.
“Selain pameran muzium dan teater, pengunjung juga akan menikmati pengalaman makanan berasaskan durian seperti tart durian dan kopi durian yang mencerminkan kepelbagaian inovasi produk tempatan,” katanya.
KLDEX juga merancang untuk memperkenalkan lawatan dusun durian yang dikurasi khas pada masa hadapan bagi memberi pengalaman menyeluruh dari ladang hingga ke meja hidangan. – MalaysiaGazette
















