Seorang maut dan beberapa kenderaan terbakar dalam nahas enam kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, Kulai hari ini.

KULAI – Seorang pemandu maut dalam nahas membabitkan enam treler, lori, van dan pacuan empat roda serta menyebabkan beberapa kenderaan terbakar di Kilometer 31.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Khairil Mohd Adzami berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 9.02 pagi.

Susulan itu, seramai 10 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Empat daripada enam kenderaan terbakar dalam kejadian itu yang mengorbankan seorang pemandu treler.

“Setibanya di lokasi kejadian 10.03 pagi, didapati kemalangan membabitkan enam kenderaan berlaku dan menyebabkan beberapa kenderaan terbakar pada arah selatan selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai.

“Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori kontena Dongfeng, sebuah treler 40 kaki membawa muatan besi pagar, sebuah Toyota Hilux, sebuah van Nissan Vanette, sebuah lori 10 tan Nissan yang membawa muatan mozek serta sebuah lori bonded satu tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, pemandu treler yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, kematiannya disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, Toyota Hilux yang terlibat terbakar kira-kira 90 peratus manakala van Nissan Vanette turut mengalami kemusnahan pada tahap yang sama.

Kemalangan melibatkan enam kenderaan dan menyebabkan kesesakan kira-kira tiga jam

Tambahnya, dua lagi kenderaan iaitu treler yang membawa muatan besi pagar pula terbakar kira-kira 80 peratus, sementara lori 10 tan Nissan dan lori bonded satu tan masing-masing terbakar 60 peratus dan tidak mengalami kerosakan besar.

“Empat mangsa lain membabitkan pemandu Toyota Hilux berusia 29 tahun, dua lelaki berusia 32 dan 29 tahun yang berada dalam van Nissan Vanette serta seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori bonded satu tan dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun maklumat menngenai pemandu lori kontena Dongfeng dan lori 10 tan Nissan l tidak dapat diperoleh kerana mereka tiada di lokasi ketika operasi dijalankan,” katanya.

Jelasnya, kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada pili bomba berhampiran bagi mengawal dan memadam kebakaran.

Setakat petang ini, operasi masih diteruskan bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat namun keadaan masih lagi sesak beberapa kilometer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ini lah akibatnya bila CCTV yg terpasang disepanjang lebuh hanya bertujuan untuk pemantauan tapi tidak untuk diambil tindakan…PANTAU SEPANJANG MASA WALAUPUN KENDERAAN BERAT TIDAK PATUT KEPADA HAD LAJU yg ditetapkan. JPJ dan LEMBAGA LEBUH RAYA patut memikirkan cara mengatasinya bukan PANTAU, PANTAU dan PANTAU.

Comments are closed.