Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah paling tegas dalam sejarah penguatkuasaan jalan raya apabila memperkenalkan kesalahan khusus terhadap lumba haram dan kegiatan Tonto menerusi Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, seksyen baharu 42A diwujudkan bagi membolehkan tindakan terus diambil terhadap individu yang berlumba atau menduga kelajuan di jalan awam tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan atau kehilangan nyawa.

“Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun manakala pesalah berulang berdepan denda sehingga RM20,000 dan penjara maksimum lima tahun,” katanya ketika membentangkan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, kerajaan turut memperkenalkan seksyen baharu 110B bagi membanteras kegiatan Tonto yang selama ini menjadi ancaman kepada operasi penguatkuasaan.

“Mana-mana individu yang menghalang, mengekori, mengganggu atau menyebarkan maklumat operasi penguatkuasaan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun,” katanya.

Menurut Anthony, langkah itu dibuat susulan ancaman keselamatan anggota penguat kuasa termasuk tragedi kematian pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Allahyarhamah Anisah Ali ketika operasi membanteras penyeludupan di Kelantan pada 2016.

“Jalan raya bukan tempat untuk berlumba dan penguat kuasa tidak boleh terus menjadi sasaran pihak yang cuba melindungi pesalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast