Kemalangan di lorong kanan berhampiran susur ke Bulatan Kepong hala pusat bandar menambahkan kepada kesesakan dari Bulatan Batu Caves.

KUALA LUMPUR –  Seorang wanita tempatan cedera di bahu selepas  motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kuching menghala Bulatan Kepong di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengesan video tular kemalangan itu di media sosial sebelum siasatan dijalankan.

“Siasatan mendapati, kemalangan terbabit berlaku sekitar jam 6.40 pagi melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal Modenas Kriss, sebuah kenderaan pacuan empat roda (MPV) Toyota Innova serta sebuah van Nissan Urvan.

“Semakan mendapati, mangsa berusia 36 tahun itu dari arah Jalan Kuching menghala ke Bulatan Kepong dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Toyota Innova yang sedang berhenti untuk memasuki susur masuk ke Bulatan Kepong.

“Akibat pelanggaran, mangsa bersama motosikalnya telah tercampak ke lorong kanan jalan sebelum motosikal berkenaan dilanggar oleh van Nissan Urvan yang sedang melalui laluan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam kejadian itu mangsa disahkan mengalami kecederaan di bahagian bahu dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan sinar-X bagi bagi mengenal pasti tahap kecederaan dialami.

“Pemandu Toyota Innova dan Nissan Urvan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-duanya telah membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” ujarnya.

Beliau meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast