Peminat Perancis memakai baju hujan ketika menyaksikan perlawanan bola sepak Kumpulan I Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Iraq di Stadium Philadelphia, Philadelphia pada 22 Jun 2026. Foto AFP

PHILADELPHIA – Perlawanan Piala Dunia antara Perancis dan Iraq pada Isnin disambung semula selepas tertangguh lebih dua jam berikutan amaran cuaca buruk yang memanjangkan tempoh rehat separuh masa.

Perlawanan yang berlangsung di Philadelphia itu bermula pada jam 5 petang waktu tempatan sebelum dihentikan ketika rehat separuh masa apabila ribut kuat melanda bandar berkenaan.

Pada awalnya, perlawanan berlangsung dalam keadaan cuaca baik, namun hujan lebat mula turun pada penghujung babak pertama.

Sebaik sahaja wisel separuh masa ditiup, penyokong diarahkan meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan berlindung di kawasan berbumbung stadium.

Sebahagian besar Stadium Lincoln Financial yang digunakan untuk kejohanan itu tidak berbumbung, menyebabkan ribuan penyokong memenuhi ruang laluan dan kawasan berbumbung untuk berlindung.

Babak kedua akhirnya dimulakan semula pada jam 8 malam waktu tempatan, iaitu lebih dua jam lewat daripada jadual asal selepas permukaan padang dibersihkan daripada takungan air.

Ia merupakan perlawanan pertama pada Piala Dunia kali ini yang ditangguhkan akibat ancaman cuaca buruk, selaras dengan protokol keselamatan ketat yang dilaksanakan di Amerika Syarikat apabila ribut dikesan di kawasan berhampiran.

Sebelum perlawanan dihentikan, Perancis mendahului Iraq 1-0 hasil jaringan Kylian Mbappe pada minit ke-14.

Beberapa perlawanan bola sepak antarabangsa di Amerika Syarikat sebelum ini turut mengalami kelewatan akibat cuaca buruk, termasuk aksi Piala Dunia Kelab tahun lalu yang menyaksikan perlawanan antara Chelsea dan Benfica tertangguh hampir tiga jam. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast