KUALA LUMPUR – Penubuhan Platform Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bukan bertujuan menggantikan peranan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebaliknya, kerajaan mahu merangkul dan bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkukuh agenda pekerja negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, isu yang melibatkan MTUC ketika ini sedang dalam usaha untuk diperbetulkan oleh organisasi itu sendiri dan pihak berkenaan wajar diberikan ruang bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Menurutnya, MTUC juga sedang mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki sebarang salah laku yang berlaku dalam organisasi berkenaan.
“Isu MTUC sedang cuba diperbetulkan oleh mereka sendiri. MTUC sendiri sedang mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki apa salah laku yang telah berlaku.
“Jadi, bagilah mereka ruang untuk memperbaikinya,” katanya ketika menjawab persoalan sama ada PHEKS akan mengambil alih peranan MTUC susulan status kongres itu yang dilihat tidak menentu ketika ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
PHEKS adalah inisiatif kendalian Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) yang menyediakan geran pembangunan khas buat kesatuan sekerja berdaftar bagi membiayai pelbagai aktiviti, program pendidikan, dan latihan ahli.
Bagi membolehkan kesatuan memohon geran ini, garis panduan rasmi dan dokumen permohonan disediakan oleh pihak JHEKS
Mengulas lanjut, Ramanan menegaskan kerajaan tidak mempunyai agenda untuk menggantikan mana-mana organisasi kesatuan sekerja.
“Tiada perkara seperti kita mahu ganti sini, ganti sana. Kita mahu semua. Kita mahu rangkul semua.
“Lebih banyak penyertaan, lebih mesra dan lebih baik untuk semua pihak,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















