KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM22 juta bagi memperkukuh keupayaan keselamatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) termasuk melengkapkan anggota dengan persenjataan dan peralatan yang bersesuaian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mengemukakan keperluan tersebut susulan insiden ancaman terhadap anggota AKPS di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.
Menurut beliau, AKPS menghimpunkan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan yang sebelum ini tidak semua mempunyai kemahiran menggunakan senjata api.
“Saya telah menulis kepada Perdana Menteri mengenai keperluan AKPS dilengkapi dengan persenjataan yang diperlukan. Beliau memberikan kelulusan serta-merta bersama peruntukan RM22 juta,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi menyediakan kelengkapan keselamatan yang sesuai dengan tugasan anggota di pintu masuk dan kawasan sempadan negara.
“Aspek keselamatan petugas sempadan tidak boleh dikompromi memandangkan AKPS kini menjadi barisan hadapan dalam mengawal kemasukan manusia dan barangan ke negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















