KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi berita gembira apabila memperoleh satu lagi kerja sambilan dan projek penggambaran baharu yang dijangka menjana hasil sebanyak RM115,000.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau memaklumkan, keseluruhan hasil daripada pekerjaan tersebut tidak akan digunakan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya disalurkan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.
“Beli 1,000 bakul makanan dan 30 laptop,” tulisnya ringkas di media sosial.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet, dengan ramai memuji hasrat beliau untuk menyalurkan hasil pendapatannya kepada inisiatif kebajikan dan pendidikan di daerah itu. – MalaysiaGazette
















