Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin (kiri), Panglima 4 Briged Mekanize, Brigedier Jeneral Datuk Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah (dua dari kiri), dan Pengarah Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Azwan Ja’afar (tiga dari kiri), melawat reruai pameran yang disediakan sempena program tersebut.

KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga dijangka menerima manfaat menerusi pelaksanaan Jelajah Inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dan Taklimat Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T) Tahun 2026 yang akan dilaksanakan di 11 kem tentera di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Selepas destinasi pertama di Kem Desa Pahlawan, Kelantan, siri jelajah kedua yang berlangsung di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang berjaya menghimpunkan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada anggota ATM, ahli BAKAT, dan anak-anak warga tentera.

Hadir sama Panglima 4 Briged Mekanize, Brigedier Jeneral Datuk Wan Mohd Faizal Shahrin W Mohamad Fablillah, manakala sesi taklimat telah dilaksanakan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin dan Pengarah Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Azwan Ja’afar.

Inisiatif yang diterajui Yayasan LTAT ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh agenda pembangunan modal insan, pendidikan, kemahiran, dan kebajikan komuniti pertahanan negara selaras dengan aspirasi Kementerian Pertahanan.

Pelaksanaan program ini berlandaskan mandat daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memastikan warga pertahanan terus berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), program K2T menawarkan pelbagai kursus kemahiran Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) seperti kulinari, teknologi automotif, dan keusahawanan demi meningkatkan kebolehpasaran keluarga tentera.

Bagi komuniti ATM di Pahang, pelbagai bentuk bantuan dan insentif pendidikan telah disalurkan melalui enam inisiatif utama yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM184,680 bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Ini termasuklah Simpanan Pendidikan Madani yang memberi manfaat kepada 608 anak Tahun 1 dengan peruntukan RM30,400 serta Program e-Perkasa SPM yang memanfaatkan 171 pelajar melalui tuisyen dalam talian dan bantuan peranti digital bernilai RM52,938.

Selain itu, Yayasan LTAT turut mengiktiraf kecemerlangan akademik dengan menyalurkan RM61,500 kepada 92 pelajar cemerlang SPM, di samping bantuan kemasukan institusi pengajian tinggi berjumlah RM30,000 bagi 30 pelajar Universiti Awam dan RM4,000 bagi dua pelajar Universiti Luar Negara.

Sebagai tanda keprihatinan, sumbangan kebajikan turut disampaikan kepada empat keluarga anggota ATM yang berdepan masalah kesihatan bagi meringankan beban mereka.

Melalui komitmen berterusan ini, Yayasan LTAT tekad memperluaskan akses kepada pendidikan dan kebajikan sebagai pemangkin pemerkasaan sosioekonomi komuniti ATM di seluruh negara. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast