KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan membantah kemasukan parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ke dalam Perikatan Nasional (PN) seperti dilaporkan media tertentu.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, bantahan hanya dibuat melibatkan kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) ke dalam PN.
Tambah beliau, laporan oleh sebuah media yang mana lapan anggota Majlis Tertinggi (MT) PN membantah penyertaan Pejuang dan Wawasan ke dalam gabungan itu disifatkan tidak tepat, tidak benar dan mengelirukan.
Senubungan itu, pihaknya menggesa media terbabit segera membetulkan tajuk serta kandungan laporan yang telah disiarkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam kenyataan media beliau pada 25 Jun 2026, bantahan terhadap PCM dibuat kerana kemasukannya berpotensi mencetuskan konflik dalaman dalam PN dan proses permohonannya didapati tidak teratur.
“Permohonan tersebut dibuat atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang dikemukakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara, sedangkan pertukaran nama parti serta perubahan kepimpinan tersebut masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dalam kenyataan yang sama, Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa Bersatu kesal dengan tindakan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa mendesak Majlis Tertinggi PN menerima kemasukan PCM secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi Akta Pertubuhan 1966 serta keperluan mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette
















