KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang antara lain bertujuan untuk membendung aktiviti lumba haram.
RUU itu diluluskan apabika mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen selepas dibahaskan 43 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sejak semalam.
Menurutnya, pindaan itu bertujuan menutup kelompongan undang-undang sedia ada yang menyukarkan tindakan diambil terhadap pelumba haram kerana pihak berkuasa sebelum ini perlu membuktikan unsur bahaya atau akibat yang telah berlaku.
“Dengan Seksyen 42A, perbuatan berlumba atau menduga kelajuan itu sendiri menjadi suatu kesalahan khusus. Seksyen ini memperuntukkan mana-mana orang yang berlumba di jalan yang melibatkan dua atau lebih kenderaan motor, termasuk kereta adalah melakukan kesalahan,” katanya ketika menggulung RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Melalui RUU itu, kerajaan antara lain bercadang menguatkuasakan kadar maksimum kompaun baharu dari RM300 kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya mulai 1 Januari 2029.
Anthony menjelaskan, cadangan kenaikan kadar kompaun daripada RM300 kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya tidak bermaksud semua kesalahan akan dikenakan kadar itu kerana ia adalah had maksimum.
Pelaksanaan kompaun masih boleh mengambil kira jenis kesalahan, tahap keseriusan, tempoh bayaran dan dasar pelaksanaan yang akan ditetapkan, katanya.
“Kenaikan ini bukan bertujuan menambah hasil kerajaan, sebaliknya adalah meningkatkan pematuhan. Kesalahan seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu secara berbahaya atau mengabaikan peraturan asas boleh membawa akibat yang sangat serius,” ujarnya.
Anthony berkata, pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan hukuman terhadap pemandu mabuk dan memandu di bawah pengaruh alkohol akan turut membabitkan bayaran pampasan serta ganti rugi kepada mangsa dan keluarga.
Katanya, kementerian sedang mempertimbangkan satu kaedah baharu yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada pemandu yang salah atau pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Menurut beliau, ia dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini. – MalaysiaGazette
















