Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis membanteras tiga sindiket dadah berasingan dan merasmpas bunga ganja bernilai RM13.73 Juta ketika di IPK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2026.

SHAH ALAM – Polis meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai punca kematian seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sehingga laporan bedah siasat diperoleh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pemeriksaan awal forensik mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa, namun butiran lanjut hanya dapat disahkan menerusi proses post-mortem.

“Saya tidak boleh memberikan penjelasan lanjut kerana post-mortem akan dijalankan hari ini.

“Sama ada kecederaan itu akibat tikaman atau perkara lain, saya tidak boleh mengulas kerana kita perlu menunggu laporan rasmi bedah siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang penuntut wanita berusia 20-an di sebuah IPTS ditemukan maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, semalam.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia 20-an dipercayai telah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh badannya.

Dalam pada itu, Shazeli mengesahkan kewujudan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.

“Laporan pakar patologi nanti akan menjadi elemen penting dalam menentukan mekanisme kematian serta membantu memperkukuh siasatan polis.

“Buat masa ini kita perlu memberi ruang kepada pihak berkaitan untuk menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast