KUALA LUMPUR – MCA menyeru rakyat Johor memberikan mandat yang kukuh kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negeri tersebut.
Dalam kenyataannya, MCA berkata, BN memasuki pilihan raya kali ini dengan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat serta memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.
Menurut parti itu, di bawah pentadbiran BN, Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus pada 2024, tertinggi di negara ini, selain menarik pelaburan diluluskan bernilai RM110 bilion pada 2025.
Malah, gaji sektor formal di Johor meningkat 42.7 peratus manakala pendapatan isi rumah median naik 12.1 peratus dalam tempoh tiga tahun lalu, melebihi purata nasional.
Oleh itu, MCA berpandangan momentum tersebut perlu diteruskan, khususnya dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), sambil menegaskan manfaat inisiatif berkenaan harus turut dinikmati perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komuniti akar umbi serta keluarga pekerja.
Bagi PRN Johor kali ini, MCA mempertaruhkan 15 calon di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan barisan calon yang disifatkan mempunyai gabungan pengalaman pentadbiran, latar belakang profesional dan khidmat di peringkat akar umbi.
Menurut MCA, seramai 13 daripada 15 calon atau 86.7 peratus pernah atau sedang memegang jawatan dalam kerajaan atau institusi awam, termasuk bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai kepada Menteri Besar, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung.
Daripada keseluruhan calon yang ditampilkan, 33.3 peratus berusia di bawah 40 tahun, manakala 73.3 peratus berusia di bawah 50 tahun.
Sebanyak 80 peratus mempunyai kelulusan universiti atau lebih tinggi, 20 peratus berlatar belakang perundangan dan 33.3 peratus berasal daripada sektor perniagaan.
MCA akan bertanding di 15 kerusi DUN iaitu Jementah, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Penggaram, Layang-Layang, Mengkibol, Paloh, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Stulang, Skudai, Senai dan Pekan Nanas.
Berikut adalah senarai nama calon-calon MCA.
N.02 Jementah – See Ann Giap
N.06 Bekok – Tan Chong
N.10 Tangkak – Haw Chin Teck
N.12 Bentayan – Chua Lee Huat
N.19 Yong Peng – Ling Tian Soon
N.23 Penggaram – Boo Chin Liong
N.27 Layang-Layang – Chua Jian Boon
N.28 Mengkibol – Yap Zhi Peng
N.30 Paloh – Lee Ting Han
N.41 Puteri Wangsa – Teow Chia Ling
N.42 Johor Jaya – Chan San San
N.45 Stulang – Bong Seng Heng
N.48 Skudai – Tan Hiang Kee
N.52 Senai – Tai Chee Chee
N.55 Pekan Nanas – Tan Eng Meng. – MalaysiaGazette















