Operasi Bersepadu Op Lusuh oleh MCMC dan PDRM Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi yang disyaki dicuri di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

KUALA LUMPUR  – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan peralatan telekomunikasi yang disyaki dicuri menerusi Operasi Bersepadu Op Lusuh yang dijalankan di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan pada 18 hingga 19 Jun lalu.

Dalam operasi itu, sebuah premis di Kota Samarahan yang dipercayai dijadikan gudang penyimpanan diserbu pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan telekomunikasi, termasuk bateri stesen pemancar dan Remote Radio Unit (RRU), yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi dan disyaki diperoleh secara tidak sah.

Peralatan telekomunikasi yang ditemui dalam Op Lusuh oleh MCMC dan PDRM Kontinjen Sarawa di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

Dua individu turut ditahan oleh PDRM bagi membantu siasatan, manakala semua peralatan yang ditemui telah disita sebagai bahan bukti.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, kegiatan kecurian dan vandalisme terhadap aset telekomunikasi bukan sahaja  satu kesalahan jenayah, malah boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna, termasuk perkhidmatan kritikal yang bergantung kepada rangkaian telekomunikasi.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Operasi Bersepadu Op Lusuh oleh MCMC dan PDRM Kontinjen Sarawak di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

Operasi bersepadu tersebut mencerminkan kerjasama erat antara MCMC, PDRM Kontinjen Sarawak, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) serta agensi penguat kuasa berkaitan dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan infrastruktur telekomunikasi negara.

Kerjasama strategik itu akan terus diperkukuh bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat, stabil dan berdaya tahan, kata MCMC.

Pada masa sama, orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi bagi membantu membendung kegiatan jenayah tersebut daripada terus berleluasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast