Warga asing yang ditahan dalam serbuan Ops Little Middle East - Foto: Facebook JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 30 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Ops ‘Little Middle East’ di One South Plaza, semalam.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilaksanakan pada pukul 12.30 tengah hari susulan aduan awam serta risikan selama seminggu di lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan warga asing khususnya dari rantau Asia Barat.

Seramai 53 pegawai daripada Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama lima pegawai KPDN terlibat dalam operasi berkenaan.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 15 premis perniagaan termasuk restoran, kiosk makanan, pusat jualan dan premis komersial lain diperiksa kerana disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa kebenaran yang sah.

Hasil pemeriksaan ke atas 64 individu mendapati seramai 30 warga asing ditahan bagi membantu siasatan.

Mereka terdiri daripada warganegara Yemen, Somalia, Afghanistan, Ghana, Pakistan dan Bangladesh yang berusia antara 26 hingga 35 tahun.

Menurut JIM, kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas yang diberikan.

Dalam operasi sama, pihak imigresen turut mengeluarkan satu Borang 29 saman kepada seorang warga tempatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, KPDN mengenakan kompaun RM300 terhadap seorang pemilik premis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selepas mengesan kesalahan semasa pemeriksaan dijalankan.

Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM dalam kenyataannya menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan bersasar bagi mengesan warga asing yang tinggal secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast