Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KUCHING – Seorang pengawal keselamatan dipenjara lapan bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya.

Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman itu terhadap Raden Mohamad Norhakim Raden Ibrahim, 46, dan memerintahkannya dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat komunikasi bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi satu hantaran di Facebook pada 12 Feb tahun lepas.

Hantaran itu kemudian dilihat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tower 1, Cyberjaya, Selangor pada 8.44 malam tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-dua sekali.

Hakim berkata kesalahan dilakukan tertuduh boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi hantaran tersebut dibuat di ruangan komen sebuah akhbar terkemuka dan melibatkan Seri Paduka Baginda.

“Kepentingan awam merupakan pertimbangan utama mahkamah dalam kes ini. Kamu perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada guna memohon maaf kepada saya, kerosakan telah pun berlaku,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast