KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) merancang mengadakan jerayawara (roadshow) ke seluruh negara sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan selesai.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jerayawara itu akan menampilkan tokoh keenam-enam parti anggota PN iaitu Pas; Bersatu; Gerakan; MIPP, Pejuang dan Parti Cinta Malaysia (Wawasan).
Menurut beliau, PN menerusi jerayawara itu berhasrat menghuraikan dasar-dasar utama gabungan parti berkenaan apabila diberi mandat mengambil alih pimpinan negara.
Pada masa ini, ujarnya, beberapa kumpulan pakar sedang membuat penyelidikan dan menggubal dasar berdasarkan arahan dan panduan Pengerusi PN, Datul Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“PN berhasrat memperkasa dan memperkemas urus tadbir PN dan bergerak kehadapan sebagai satu parti bersifat “policy-driven”.
“Sekurang kurangnya 10 policy domain yang utama telah di kenal pasti dan telah di bentang secara preliminary dan sedang diperkemaskan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Tambah Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, PN berazam membawa penyelesaian kepada pelbagai masalah negara yang gagal di urus dengan baik pada masa ini.
Ujarnya, ia melibatkan perpaduan kaum, keadilan sosial, pertumbuhan ekonomi, kemajuan pendidikan, governance dan integriti dan dasar utama lain. – MalaysiaGazette
















