KUALA LUMPUR – Kelewatan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada pukul 3 petang sebelum ditunda ke 4.30 petang berpunca daripada proses tapisan dan dokumentasi yang perlu diselesaikan oleh semua 54 orang calon.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai andaian dan spekulasi berhubung kelewatan pengumuman calon BN adalah tidak tepat kerana setiap calon perlu melalui beberapa prosedur wajib sebelum diumumkan secara rasmi.
Katanya, selain mengangkat baiah untuk kekal setia kepada parti dan tidak melompat parti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, setiap calon turut menjalani tapisan menyeluruh melibatkan pelbagai aspek.
“Profil setiap calon disemak dari segi status kebankrapan, rekod jenayah, pematuhan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), semakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta rekod dengan Jabatan Agama Islam bagi memastikan mereka bebas daripada isu berkaitan kesalahan syariah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Asyraf turut berkongsi gambar proses yang perlu dilakukan oleh calon-calon BN sebelum pengumuman dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Selain itu, jelas Asyraf, semua calon juga dikehendaki menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah.
Proses yang bermula pada pukul 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar 2.30 petang itu bagaimanapun berlanjutan sehingga pukul 4 petang berikutan melibatkan keseluruhan 56 calon BN, tambahnya.
Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada penyokong, jentera parti dan pengamal media yang terpaksa menunggu lebih lama bagi pengumuman rasmi calon-calon BN oleh Onn Hafiz.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semua calon BN diberi kejayaan pada PRN Johor demi kesejahteraan rakyat negeri itu. – MalaysiaGazette
















