Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor yang juga calon N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi diiringi Setiausaha Agung BN, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Semua 56 calon Barisan Nasional (BN) Johor yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan bahawa pemilihan mereka bukan satu hadiah atau keistimewaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebaliknya ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar diberikan kepada mereka untuk dijalankan sebaik mungkin.

“Berkempenlah dengan penuh adab, penuh tertib, penuh bijaksana kerana di Johor, kita ada cara. Kepada mereka yang tidak terpilih sebagai calon, saya merayu agar terus bersama-sama dalam perjuangan ini.

“Perjuangan kita lebih besar daripada mana-mana individu mahupun jawatan. Yang bertanding mungkin seorang calon tetapi yang mesti menang ialah kita semua, seluruh pasukan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr J Loga Bala Mohan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Onn Hafiz seterusnya mengajak semua calon menawarkan kepada rakyat sebuah kerajaan yang stabil, jelas prinsipnya, jelas visinya, tersusun pentadbirannya dan mampu meneruskan kemajuan Maju Johor 2030.

“Kita tidak pernah sekali-sekali menjanjikan bulan dan bintang. Kita juga tidak menjanjikan bahawa perjalanan ini akan sentiasa mudah,” katanya yang juga akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dalam PRN kali ini.

Namun, ujar beliau, BN Johor berjanji untuk terus bekerja bertungkus-lumus demi membangunkan Johor.

“Kepada seluruh rakyat bangsa Johor, nilailah kami berdasarkan kerja, pencapaian dan perancangan untuk masa hadapan.

“Justeru, ayuhlah kita semua bangsa Johor, usah kita toleh ke belakang lagi. Marilah kita sama-sama merapatkan saf, bergerak sederap sebagai satu pasukan, serangkap bak lembing, serumpun bak serai.

“Kita perlu sentiasa bersatu dan bersepakat untuk mempertahankan setiap inci bumi bertuah Johor Darul Takzim,” katanya.- . MalaysiaGazette

ARTKEL BERKAITAN:

PRN Johor: Adham Baba buat comeback di DUN Pasir Raja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast