JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba membuat comeback apabila diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja.
Nama beliau diumumkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Majlis Pengumuman Calon BN Johor di Pejabat UMNO Johor, di sini hari ini untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Adham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenggara akan mempertahankan kubu kuat BN di Pasir Raja yang dimenangi komponen parti itu pada PRN 2022.

Kerusi berkenaan kini disandang Rashidah Ismail yang memenangi DUN Pasir Raja dengan majoriti 4,888 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada pilihan raya lalu.
Mengikut rekod, Adham pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 sebelum beralih ke pentas Parlimen sebagai Ahli Parlimen Tenggara.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kerajaan Persekutuan.
Namun Adham tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum kembali diberi mandat oleh BN untuk bertanding pada PRN Johor kali ini. – MalaysiaGazette.
















