IPOH – Kedudukan Ketua Whip Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang disandang Datuk Zainol Fadzi Paharudin tidak terjejas meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu telah menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah mendapatkan pengesahan daripada pihak pembangkang berhubung perkara berkenaan.
Katanya, kedudukan tempat duduk Zainol Fadzi dalam blok pembangkang pada persidangan DUN Perak juga kekal seperti sedia ada tanpa sebarang perubahan.
“Setakat ini tidak ada sebarang permohonan (daripada pihak pembangkang) untuk menukar (susunan atau kedudukan) tempat duduk kawasan (Zainol Fadzi),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Jenny Choy Tsi Jen serta Setiausaha Dewan Negeri, Mohd Ikram Ahmad.
Pada Jun lalu media melaporkan, Penyelaras Wawasan Negeri Perak, Zainol Fadzi mengumumkan penyertaannya dalam parti berkenaan selepas empat bulan dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Zahir berkata, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 Perak akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 8 September nanti.
Ujar beliau, pada persidangan itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan membawa usul Pemilihan Ahli Dewan Negara Malaysia untuk pelantikan seorang senator.
Jelas Mohammad Zahir, usul berkenaan dibawa bagi menggantikan kedudukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang telah tamat penggal jawatan berkenaan.
“Setakat ini pejabat saya menerima dua nama calon iaitu daripada blok kerajaan, Mohamad Hairul Amir Sabri (Pengerusi PKR Perak) dan Ibrahim Zakaria (Ketua Dewan Ulamak PAS Perak) daripada blok pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, Mohammad Zahir memberitahu, pada persidangan berkenaan turut akan menyaksikan dua Rang Undang-Undang (RUU) yang dibawa Menteri Besar iaitu Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026, serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026. – MG Perak
















