JOHOR BAHRU – Rakyat masih berpecah walaupun selepas 69 tahun negara mencapai kemerdekaan akibat politik perkauman yang masih dimainkan.
Ketua Komunikasi Parti Progresif Penduduk (PPP), Jeyaratnam Manium@Ajaay berkata, politik perkauman sudah menjadi satu tradisi yang perlu dihentikan kerana hakikatnya rakyat masih berpecah mengikut garis kaum dan politik.
Beliau berpandangan, politik memainkan peranan besar dalam membentuk dan memperdalam perpecahan yang dapat dilihat dalam masyarakat hari ini.
Katanya, masyarakat sering digambarkan bersatu setiap kali dalam program sambutan kemerdekaan tetapi realiti sebenarnya tidak begitu.
“Kemerdekaan bukan sekadar berkumpul di acara sambutan merdeka, menyaksikan rakyat daripada pelbagai kaum berarak bersama-sama dan menampilkan gambaran seolah-olah kita bersatu.
“Menghimpunkan rakyat Malaysia daripada semua kaum di atas satu pentas selama beberapa jam tidak semestinya mencerminkan perpaduan yang sebenar.
“Jika perpaduan hanya wujud ketika sambutan rasmi, maka ia tidak lebih daripada sebuah persembahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, merdeka tidak seharusnya hanya menjadi pentas untuk ahli politik memberikan ucapan manis mengenai perpaduan pada hari-hari tertentu.
Selepas sambutan berakhir, katanya, segelintir mereka kembali kepada politik bagi mengeksploitasi perbezaan demi kepentingan politik.
Ujarnya, segala kata-kata mengenai perpaduan akhirnya tidak lebih daripada ‘sebuah makam yang indah di luarnya tetapi kosong di dalamnya’.
Hakikatnya tegas beliau, polarisasi kaum semakin jelas kelihatan sama ada di sekolah, tempat kerja mahupun media sosial.
Beliau berkata, masalah itu turut diburukkan oleh parti-parti politik dan pasukan siber mereka yang memasuki perbincangan dalam talian untuk mempengaruhi, memanipulasi dan mengarahkan pendapat awam mengikut kepentingan politik masing-masing.
Apa yang sepatutnya menjadi perbincangan sihat untuk mencari penyelesaian akhirnya menjadi tidak lebih daripada persaingan politik, katanya.
Realitinya, kata Jeyaratnam, parti-parti politik mempunyai kemampuan untuk membawa perubahan, tetapi ramai yang memilih untuk tidak melakukannya kerana ‘kad perkauman’ masih begitu sebati dalam politik Malaysia.
Malaysia katanya, memang mempunyai undang-undang dan peruntukan untuk menjaga keharmonian kaum serta menghalang eksploitasi isu-isu sensitif secara tidak bertanggungjawab.
Namun, katanya, undang-undang semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Penguatkuasaan juga mestilah adil, konsisten dan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Penguatkuasaan terpilih, sama ada benar-benar berlaku atau hanya dilihat berlaku, hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat,” katanya lagi.
Perpaduan katanya, mesti bermula dari rumah, sekolah, tempat kerja dan komuniti, bukan hanya di atas pentas sambutan merdeka.
“Kemerdekaan sebenar bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan. Kemerdekaan sebenar ialah apabila rakyat Malaysia bebas daripada prasangka, kecurigaan terhadap kaum lain dan manipulasi politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















