KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Penerangan bukan tugasnya menggasak sesiapa sahaja di media sosial, tegas Datuk Razali Idris.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, jawatan berkenaan bukan lesen untuk bercakap sebanyak mungkin, sebaliknya perlu digunakan bagi menerangkan dasar, mempertahankan parti, menyatukan pimpinan serta membaca denyut nadi rakyat.
“Saya pernah memikul amanah itu. Alhamdulillah, bersama pimpinan, jentera dan rakan-rakan komponen PN, kita melalui PRU dengan pencapaian 31 MP dan 66 ADUN.
“Itu sejarah. Tetapi sejarah juga mengajar kita satu perkara kerana politik yang matang membina kekuatan, politik yang gelojoh membakar jambatan,” katanya menerusi kenyataan ‘Kaca Mata Saya’, hari ini.
Razali berkata, terlalu banyak kenyataan yang pada pandangannya tidak perlu dikeluarkan kerana tidak semua perkara perlu dijawab, kritikan dilawan atau perbezaan pandangan dijadikan perang terbuka di media sosial.
“Lebih malang apabila kenyataan dibuat tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu di Pantai Timur.
“Kalau hendak jadi hero media sosial, silakan. Tetapi jangan sampai parti menjadi mangsa,” katanya.
Menurut beliau, keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya sudah cukup menjadi ‘wake-up call’ kepada Bersatu supaya melakukan muhasabah dan tidak mengulangi kesilapan sama.
“Kalau masih tidak sedar, masalahnya bukan lagi pada keputusan pilihan raya tetapi masalahnya mungkin pada cermin yang enggan kita pandang,” katanya.
Razali turut mendedahkan bahawa dalam satu mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Terengganu sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) secara sebulat suara mencadangkan supaya Ketua Penerangan diganti.
“Namun wakil MPT yang hadir tidak sampai hati membawa cadangan itu ke Mesyuarat MPT.
“Hari ini saya ulang secara terbuka kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan,” katanya.
Tegas Razali, Bersatu tidak akan bangkit hanya dengan memiliki Ketua Penerangan yang paling lantang, sebaliknya memerlukan pemimpin yang bijaksana membaca keadaan, tenang mengurus perbezaan dan tajam menyusun strategi.
“Kita perlukan jurucakap parti, bukan jurucakap kemarahan.
“Jangan kerana mahu menang hujah di media sosial, kita kalah kepercayaan di bawah.
“Parti bukan pentas untuk ego individu. Parti ialah amanah untuk diperjuangkan,” katanya.
Razali sebelum ini telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu, sekali gus melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu. – MalaysiaGazette
















