Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – “Habis madu, sepah dibuang.”

Itu hantaran ringkas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mencuri perhatian selepas bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mengumumkan keputusan meninggalkan parti itu hari ini.

Hantaran di Facebook berkenaan bagaimanapun tidak menyebut nama Kian Ming secara langsung, namun waktunya yang muncul pada hari sama pengumuman bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menimbulkan tanda tanya.

Kian Ming menyertai DAP pada 2012 dan dua kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Bangi, yang ketika itu dikenali sebagai Serdang.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selain diberikan pelbagai tanggungjawab dalam DAP, khususnya berkaitan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Keputusan Kian Ming itu turut mendapat perhatian Pengerusi Parti Urimai, P. Ramasamy yang menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada DAP.

Menurut Ramasamy, Kian Ming bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam analisis pilihan raya, malah mempunyai pendirian serta pemikiran politiknya sendiri.

Perkembangan itu menjadi lebih menarik apabila Kian Ming sebelum ini dilaporkan tidak berhasrat menubuhkan parti politik atau menyertai mana-mana parti sedia ada selepas meninggalkan DAP.

Sebaliknya, beliau mahu membantu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam usaha politiknya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Hubungan Kian Ming dengan Khairy itu juga sebelum ini mengundang perhatian apabila kedua-duanya dilihat menjalinkan kerjasama selepas Kian Ming semakin menjauhkan diri daripada DAP.

Dalam perkembangan terbaharu itu, hantaran Anthony yang hanya terdiri daripada empat perkataan terus menjadi perhatian, terutama selepas pengumuman mengejut Kian Ming meninggalkan DAP.

Sama ada ia sekadar peribahasa atau mempunyai maksud tersirat, hanya Anthony yang mengetahui sasaran sebenar hantaran berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here