Anggota bomba Muhammad Sani Harul bersama isteri, Aziela Shaharuddin. - Foto: Threads azielashaharuddin

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Timbalan Pengarah Bahagian di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Sani Harul yang masih gagal dihubungi dalam kejadian banjir kilat di Nepal menitipkan doa bagi keselamatan suaminya itu.

Menerusi hantaran di Threads, Aziela Shaharuddin memaklumkan tidak mendapat khabar berita daripada suaminya itu memasuki hari kelima hari ini.

Berikut antara petikan doa yang dikongsikan Aziela menerusi akaun Threads tersebut:

“Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Pada saat ini, kami sekeluarga menadah tangan kepada-Mu dgn hati yang penuh harapan, penuh kerinduan dan penuh rasa takut. Kami berkumpul sebagai sebuah keluarga kerana kami terlalu merindui mu, namun sehingga saat ini kami masih belum mengetahui di mana dia berada & bagaimana keadaannya.

“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui. Engkau tahu di mana dia berada. Engkau melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya. Engkau mendengar suaranya ketika telinga kami tidak mampu mendengarnya. Engkau mengetahui keadaannya ketika kami hanya mampu menunggu dan berharap. Ya Allah, kami serahkan dia kepada-Mu. Di saat kami tidak mampu berada di sisinya, jadilah Engkau yang menjaganya. Di saat kami tidak mampu membantunya, bantulah dia dengan pertolongan-Mu.

“Ya Allah, peliharalah dia di mana sahaja dia berada. Jika dia dalam kesusahan, bantulah dia. Jika dia dalam bahaya, selamatkanlah dia. Jika dia ketakutan, tenangkanlah hatinya. Jika dia kesejukan, lindungilah tubuhnya. Jika dia keletihan, berikanlah kepadanya kekuatan. Jika dia sedang menunggu pertolongan, dekatkanlah pertolongan itu kepadanya. Ya Allah, lindungilah dia daripada arus banjir, runtuhan, kesejukan, kecederaan dan segala bahaya yang kami tidak mampu lihat dan tidak mampu jangka.

“Ya Allah, permudahkanlah usaha mereka yg sedang mencari dan menyelamatkan. Pimpinlah mereka ke tempat dia berada. Tunjukkanlah kepada mereka jalan untuk sampai kepadanya. Jika ada seseorang yang berada dekat dengannya dan mampu membantu,gerakkanlah hati orang itu untuk menemui dan menyelamatkannya Ya Allah, kami tahu kami hanya mampu berusaha dan berdoa. Selebihnya kami serahkan kepada-Mu. Maka kami mohon, Ya Allah, dengan sepenuh hati kami, kembalikanlah beliau kepada keluarganya.

“Ya Allah, jika masih ada ruang utk kami bertemu dengannya, maka izinkanlah pertemuan itu berlaku. Izinkan kami melihat wajahnya kembali. Izinkan kami mendengar suaranya kembali. Izinkan kami memeluknya kembali. Dan izinkan kami sekeluarga bersyukur kepada-Mu atas kepulangannya. Ya Allah, kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, tetapi Engkau tahu. Kami tidak tahu di mana dia berada, tetapi Engkau tahu. Kami tidak mampu mencapainya, tetapi Engkau Maha Berkuasa untuk mencapainya,” tulisnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hisham Mohamad mengesahkan Muhammad Sani merupakan antara dua pegawai bomba yang gagal dihubungi susulan kejadian banjir dahsyat di Nepal baru-baru ini.

Turut gagal dihubungi ialah pegawai Akademi JBPM Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC), yang mula bertolak ke Nepal pada malam Isnin minggu lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here