KUALA LUMPUR – Pengunduran bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming daripada DAP merupakan satu kehilangan besar bagi parti itu, terutama ketika berdepan keperluan membentuk hala tuju politik yang lebih jelas.
Bekas pemimpin DAP yang juga Pengerusi Parti Urimai, P. Ramasamy berkata, Kian Ming bukan sekadar pernah dua kali dipilih sebagai Ahli Parlimen, malah mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam analisis pilihan raya yang banyak membantu persiapan DAP.
Menurutnya, Kian Ming menyertai DAP pada 2012 dan diberikan pelbagai tanggungjawab berkaitan persiapan menghadapi pilihan raya berdasarkan pengetahuannya dalam penggunaan alat dan kaedah statistik.
“Pemergian Kiang Ming merupakan satu kehilangan besar bagi DAP. Ia berlaku pada ketika parti itu, setelah tunduk kepada tuntutan hegemoni Melayu, kelihatan tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk membentuk pendirian politiknya sendiri yang berasaskan maruah dan harga diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Awal hari ini, Kian Ming memaklumkan meletak jawatan sebagai ahli parti DAP, bermula hari ini.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, walaupun tidak lagi berperanan sebagai ahli politik, beliau akan kekal berkhidmat demi kepentingan negara dan bersama dengan orang yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.
Antaranya, beliau menyatakan komitmen untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-16, seperti mana janjinya pada 10 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, meskipun Kian Ming dilihat sebagai individu yang bekerja sebagai sebahagian daripada pasukan, beliau sebenarnya mempunyai pendirian dan pemikiran politik sendiri.
Katanya, keadaan itu antara sebab Kian Ming tidak dicalonkan DAP pada Pilihan Raya Umum 2022, ketika beliau dilihat tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti mengenai masa depan DAP.
“Dengan latar belakang akademiknya dalam bidang sains politik, Ong memberikan keutamaan kepada analisis bebasnya sendiri terhadap parti dalam konteks politik Malaysia yang lebih luas.
“Dalam budaya mengampu yang wujud dalam DAP, jelas bahawa beliau tidak begitu sesuai untuk memainkan peranan sebagai seorang ‘loyalis parti’,” katanya.
Menurut Ramasamy, Kian Ming juga antara tokoh terawal yang menyedari kemerosotan sokongan masyarakat India terhadap DAP akibat peminggiran dan penyingkiran pemimpin-pemimpin India dalam parti tersebut.
Beliau berkata, Kian Ming merupakan tokoh yang dihormati di luar lingkungan DAP dan pemergiannya tidak seharusnya dilihat sebagai perkara kecil kepada parti itu.
Ramasamy berkata, hubungan kerja Kian Ming dengan Khairy Jamaluddin selepas meletakkan jawatan semakin menjauhkan diri daripada DAP dan turut mengundang kritikan daripada penyokong pro-DAP.
Namun, katanya, Kian Ming tidak menyokong UMNO, sebaliknya hanya meneruskan persahabatan yang telah terjalin dengan Khairy ketika bekas Menteri Kesihatan itu masih berada dalam kepimpinan politik.
“Hakikat bahawa UMNO dan DAP kini bekerjasama secara simbiosis dalam Kerajaan Persekutuan seolah-olah terlepas daripada perhatian para penyokong DAP,” katanya. – MalaysiaGazette
















