Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad diiring Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Perak Gen Showcase 2026 x Evas Foodfest di Medan MARA, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menggesa generasi muda negeri itu supaya berani menjadi pencipta pekerjaan dan tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan sedia ada.

Beliau berkata, perubahan landskap ekonomi dan teknologi memerlukan anak muda mempunyai keberanian serta kreativiti untuk membina perniagaan sendiri yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“Negara memerlukan generasi yang bukan sahaja mempunyai kebolehan untuk mengisi peluang pekerjaan yang ada malah mempunyai keupayaan mencipta peluang baharu untuk orang lain,” katanya ketika berucap merasmikan program Perak Gen Showcase 2026 di Medan MARA hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Perak Gen Showcase 2026 x Evas Foodfest di Medan MARA, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2026.

Hadir sama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Saarani turut berkongsi kisah kejayaan seorang usahawan muda Perak yang memulakan perniagaan berasaskan produk tempatan atas jenama Miker Pizza ketika pandemik Covid-19.

“Pizza yang dihasilkan dengan citarasa Perak berasaskan ikan bilis berjaya mendapat sambutan menggalakkan dan mengembangkan operasi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Ini membuktikan pendidikan dan kemahiran yang dimiliki golongan muda boleh diterjemahkan kepada penciptaan nilai ekonomi yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri Perak memberi penekanan kepada pembangunan modal insan bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi.

“Pembangunan ekonomi tidak boleh hanya diukur melalui jumlah pelaburan diterima atau kawasan industri yang dibangunkan,” katanya.

Sebaliknya kejayaan sebenar apabila rakyat tempatan memperoleh peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup hasil daripada pembangunan tersebut.

“Pembangunan yang kita laksanakan mesti memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk terlibat serta menikmati manfaatnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast